Nilai Pengajaran Sejarah
Dalam surat yang singkat, Yudas (Jude) mengajar kita sedikit sebanyak tentang pentingnya menimba ikhtibar daripada sejarah. Ini bukan isi utama surat tersebut. Akan tetapi, beberapa pemerhatian yang seterusnya agak luar biasa:
Dalam surat kedua terakhir dalam Al-Kitab, Yudas menulis untuk mendorong para pengikut Kristus untuk "mempertahankan dengan bersemangat, iman yang telah diwahyukan Tuhan kepada mereka" (ayat 3). Surat ini adalah amaran supaya berwaspada akan orang tertentu yang telah masuk menyelusup... orang-orang yang fasik, yang menyalahgunakan kasih karunia Allah kita untuk melampiaskan hawa nafsu mereka, dan yang menyangkal satu-satunya Penguasa dan Tuhan kita, Yesus Kristus." (ayat 4). Yudas menyifatkan orang-orang tersebut dengan jelas. Mereka "mengutuk segala yang mereka tidak fahami" (ayat 10). Mereka "mengadu tentang nasib mereka, mencari salah orang lain, hidup menuruti hawa nafsu mereka, membodek orang untuk menangguk di air keruh" (ayat 16). Mereka "menyebabkan pecah-belah dan berfikiran duniawi, dan hidup tanpa Roh Kudus" (ayat 19).
Penilaian yang dahsyat ini bukanlah ditujukan kepada orang-orang di luar gereja, tetapi kepada orang telah menyelusup tanpa disedari. Yudas mahu umat mengecam mereka supaya gereja tidak ditipu dan dihancurkan oleh ajaran sesat dan perbuatan tidak bermoral mereka.
Salah satu strategi Yudas adalah dengan membandingkan mereka dengan watak dan peristiwa lain dalam sejarah. Contohnya, dia berkata bahawa "Sodom dan Gomorrah... yang dengan cara yang sama melakukan percabulan dan mengejar kepuasan-kepuasan yang tak wajar, telah menanggung siksaan api kekal sebagai peringatan kepada semua orang." (ayat 7).
Jadi Yudas membandingkan pengajar-pengajar sesat tersebut dengan Sodom and Gomora. Tujuan beliau menjadikan Sodom dan Gomora sebagai "peringatan" kepada apa yang bakal menimpa mereka. Dalam minda Yudas, mengetahui sejarah Sodom dan Gomora itu penting bagi mengecam ajaran sesat dan melindungi umat daripadanya.
Seperti ayat 11, Yudas memberikan 3 rujukan lain kepada peristiwa lampau sebagai perbandingan dengan apa yang sedang berlaku di kalangan orang Kristian. Beliau berkata "Celakalah mereka, kerana mereka mengikuti jejak Kain dan kerana mereka, oleh sebab upah, menceburkan diri ke dalam kesesatan Balaam, dan mereka binasa kerana kederhakaan seperti Korah."
Menarik sekali. Kenapa Yudas melihat kembali tiga insiden sejarah yang berlaku beribu-ribu tahun dahulu - Kejadian 19 (Sodom), Kejadian 3 (Kain), Bilangan 22-24 (Balaam), Bilangan 16 (Korah)? Apakah tujuan Yudas?
Berikut adalah tiga sebabnya:
1) Yudas menganggap bahawa pembaca sudah mengetahui kisah-kisah sejarah tersebut! Adakah ini tidak menakjubkan? Zaman Yudas adalah abad pertama! Tiada buku-buku cetakan. Tiada Al-Kitab. Tiada kaset atau video. Hanya hafalan dan cerita yang diwarisi. Dan Yudas menganggap mereka akan jelas tentang "jejak Kain", "kesesatan Balaam" dan "kederhakaan Korah"? Tahukah anda tentang kisah tersebut? Bukankah ini menarik? Ini menyebabkan saya merasakan bahawa tahap pengetahuan Al-Kitab dalam gereja kita hari ini adalah terlalu rendah.
2) Yudas menganggap bahawa dengan mengetahui sejarah, masalah situasi semasa dapat dimudahkan. Orang Kristian akan lebih bersedia menghadapi ajaran sesat pada hari ini jika mereka mengetahui situasi yang sama semalam. Dengan kata lain, sejarah adalah penting untuk kehidupan Kristian. Untuk mengetahui bahawa Kain iri hati dan membenci abangnya dan merosakkan hubungannya dengan Tuhan akan memberi amaran kepada kita agar berjaga-jaga sekiranya perkara yang sama berlaku hari ini. Kesedaran bahawa Balaam menyalahgunakan Firman Tuhan untuk kepentingan diri membolehkan anda kenalpasti perbuatan yang sama hari ini. Mengetahui bahawa Korah memberontak terhadap kepimpinan sah Nabi Musa akan memperlengkapi anda agar berwaspada dengan orang-orang tidak suka dipimpin.
3) Tidakkah ianya jelas bahawa Tuhan menentukan arus sejarah dan pastikan ianya direkodkan supaya kita memperoleh ikhtibar dan lebih bijaksana dan berpengetahuan dalam menangani situasi semasa demi Kristus dan gereja-Nya? Janganlah berhenti belajar sejarah. Tambahlah ilmu pengetahuan setiap hari. Dan berilah anak-anak kita salah satu perlindungan bagi cabaran masa depan, iaitu, pengajaran kisah-kisah lampau.
Belajar dengan anda, demi Kristus dan kerajaan-Nya
John Piper